OSASUNA 2 BARCELONA 2

Xavi sedar Barcelona berdepan cabaran untuk menduduki tempat empat teratas LaLiga sambil mengakui keputusan seri 2-2 di Osasuna, awal pagi tadi, adalah tidak memadai.


Blaugrana yang sedang mencari kemenangan mengetuai pertembungan menghiburkan di Estadio El Sadar itu dua kali hasil jaringan pertama tonggak remaja, Nico Gonzalez dan Ez Abde.

Mereka gagal menamatkan minggu suram itu yang menyaksikan David Garcia menyamakan kedudukan perlawanan, beberapa minit selepas gol Nico dalam babak pertama sebelum Chimy Avila memastikan satu mata buat Osasuna melalui rembatannya dalam kekalutan di dalam kotak penalti pada minit ke-86.





Barca tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) dengan kekalahan 0-3 di Bayern Munich. minggu lalu, dan menduduki tempat kelapan LaLiga selepas tercicir mata di Pamplona.

Xavi berasa kecewa kerana pasukannya gagal mengekalkan mata penuh tetapi berpendapat mereka masih mampu mengatasi kekecewaan itu.

Dia berkata: "Mata yang dikutip ini tidak mencukupi. Perasaan dibolosi pada lewat perlawanan adalah teruk. Kami bersaing dengan baik. Di kedudukan 2-1, kami perlu mengekalkan penguasaan bola tetapi kami tidak berjaya.

"Kami perlu mengubah dinamik dengan segera. Kami tidak tenang dan tidak menguasai bola, mereka telah mengunci kami. Kami menderita.

"Kami tidak dapat menguasai bola dalam tempoh yang lama. Kami tidak dapat berbuat apa-apa. Kami tidak berjaya bermain di separuh kawasan lawan, sukar untuk kami mendapatkan bola kedua dan bertahan di kawasan itu.

"Terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki. Ia adalah tiga mata yang sangat penting."

Xavi juga sedar mereka berdepan laluan berliku untuk layak ke UCL.

Dia menambah: "Matlamatnya adalah untuk terus bersaing. Kami mahu berada di antara empat teratas tetapi ia sukar. Realitinya tidak mudah."

Bekas pemain tengah itu, bagaimanapun, memberikan pujian kepada pemain muda Barca yang mempamerkan persembahan menarik selepas sekali lagi menyinar.

Dia berkata: "Abde, Gavi dan Nico beraksi dengan luar biasa. Mereka menyokong pasukan pada saat sukar. Ia usaha yang luar biasa. Orang muda membuat perubahan dan ini sukar untuk dihadam. Ia mengandungi elemen positif dan negatif kerana mereka tidak akan sentiasa beraksi cemerlang kerana mereka masih muda.

"Permainan Abde begitu menakjubkan, begitu juga Nico dan Gavi."