Deretan krisis yang membanjiri FC Barcelona seperti tak berpenghujung. Segar dengan kekalahan 1-2 di tempat sendiri dalam aksi El Clasico hujung minggu lalu, La Blaugrana tumbang pula 0-1 di atas Rayo Vallecano.

Kekalahan yang menjadi ‘tumbukan terakhir’ yang terus menumbangkan Koeman sekaligus ditunjukkan jalan keluar serta-merta.


Soalan yang paling pantas ditanya semua pihak ketika ini? Siapakah yang paling layak memegang tampuk Barcelona ketika ini? Beberapa nama digariskan namun yang paling banyak mencuri tumpuan ialah Xavi Hernandez, lagenda kelab tersebut yang kini menjawat jawatan sebagai pengurus kelab Qatar, Al Sadd.






Ketika Barcelona menanggung malu di pentas La Liga semalam, Xavi sebaliknya cemerlang memimpin Al Sadd dalam kemenangan 3-1 ke atas Umm Salal. Ia melebarkan rekod kelab kepada 34 perlawanan tanpa kalah. Perlawanan itu juga menyaksikan rakan senegara Xavi, Santi Cazorla menjaringkan satu gol sebelum dikeluarkan di minit ke-55.

Berhubung dengan panasnya nama beliau di FC Barcelona ketika ini, kita semak beberapa persoalan yang menyelubungi kemungkinan Xavi sebagai pengurus di sana. Dari manakah ia bermula? Apakah visi pasukan? Mampukah satu perlantikan ketua jurulatih memberi impak yang begitu besar kepada pasukan?


Pilihan Nostalgik
Umum di Barcelona mengetahui begitu rapatnya hubungan Xavi dan kelab. Bukan sahaja pemain yang sudah melakukan 500 penampilan bersama kelab, Xavi juga adalah pemenang treble sebanyak tiga kali dengan kali terakhir melakukannya pada musim 2014/15. Singkat cerita, warga Catalan bukan sahaja menyukainya, mereka memujanya.

Jika ada pilihanraya yang menentukan calon jurulatih seterusnya, pasti Xavi yang akan menang. Dan sekiranya benar beliau akan menjadi pengurus FC Barcelona seterusnya, setidaknya kehadiran beliau di peringkat awal itu saja sedikit sebanyak mampu merapatkan semula hubungan kelab dan penyokong yang semakin memburuk dari masa ke semasa.


Ahli Taktik
Biarpun belum begitu lama menjadi jurulatih, bakat kejurulatihan pada individu berusia 41 tahun ini amat dikagumi ramai, terutamanya di kalangan para pencinta idea-idea segar bolasepak dunia. Di dalam dunia pakar taktik, Xavi diibaratkan salah seorang bintang masa depan, bersama-sama dengan Julian Nagelsmann, Graham Potter, Xabi Alonso dan Ruben Amorim.

Xavi sendiri telah berguru dengan pakar taktik ternama dunia ketika menjadi pemain. Jose Mourinho, Louis van Gaal, Pep Guardiola, Luis Enrique, mendiang Tito Villanova adalah antara yang paling berpengaruh sepanjang kariernya. Ia mungkin salah satu bekal perguruan yang terbaik boleh didapati dari mana-mana pemain.






Cara Barcelona
DNA atau budaya kelab adalah antara perkara yang kerap dicanang di segenap lapisan bola sepak dunia pada ketika ini. Dua kubu yang berseberang pendapat kerap berdebat mengenainya; satu kubu menyifatkan DNA kelab adalah perkara yang kolot dan tak boleh dipraktikkan lagi manakala tradisionalis lebih cenderung mahukan kejayaan yang diraih ‘dengan identiti tersendiri.’

Jurulatih yang hanya berpegang pada DNA dan kerja keras tanpa bersifat lebih terbuka dan pragmatik dalam mempromosi idea-idea kontemporari yang lain kebanyakannya akan gagal. Sama ada Xavi cukup bijak dalam menyelesaikan perkara ini nanti, hanya masa yang akan menentukannya.


Risiko
Seedorf dan Inzaghi di Milan, Pirlo di Juventus, untuk seketika Arteta di Arsenal dan kini Ole Gunnar Solksjaer di Manchester United; persamaan di antara semua jurulatih yang disebut itu ialah mereka faham benar akan risiko menjadi lagenda kelab dan menyertai semula kelab tersebut sebagai pengurus. Bukan hanya rasa teruja yang akan terbit dari penyokong, sebaliknya juga sebuah pengharapan yang pada hujungnya bertukar menjadi risiko.

Bagaimana kalau Barcelona terus-menerus dirundung malang dalam 10 perlawanan pertama Xavi? Pernahkah anda terfikir kalau itu terjadi? Adakah penyokong boleh lagi melihat Xavi sebagai lagenda sepertimana beliau sekarang? Tambahan pula realiti sekarang ini terlalu banyak yang berperangai kurang cerdik di kalangan penyokong. Majoriti dari mereka tidak siap untuk membezakan dua individu berbeza - satu yang telah membahagiakan mereka sebagai pemain dan satu lagi yang mencuba nasib sebagai pengurus

Rekodnya dari 93 perlawanan tercatat 63 kemenangan, 14 kali seri dan hanya 16 kekalahan. Tapi ia adalah di Qatar, dan tentunya cabaran di Sepanyol menampilkan ombak dan ranjau berbeza. Dengan lagu harapan semakin ligat dimainkan di kota Barcelona, umum mengharapkan kedatangan beliau mampu melengkapkan trilogi ‘The Return 3.0’ yang mana dua episod pertama sudahpun dilunaskan Pep dan Enrique.