Ketua jurulatih baru Barcelona, Xavi, percaya bahawa Ousmane Dembele boleh menjadi pemain terbaik dunia di posisinya dan menggesa kelab itu untuk mengutamakan kesepakatan baru buat pemain sayap berkenaan.

Dembele masih gagal menepati tanda harganya, yang dilaporkan sekitar €147 juta (RM707.18 juta) ketika menyertai Barca daripada Borussia Dortmund pada Ogos 2017.

Secara keseluruhan, dia telah melakukan 119 penampilan buat Barca dan 76 daripadanya adalah sebagai kesebelasan utama.

Pemain kebangsaan Perancis itu kembali daripada waktu rehat selama lima bulan ketika menewaskan Dynamo Kiev minggu lalu tetapi sekali lagi dihimpit kecederaan paha dan perlu menyambung waktu rehatnya.

Walaupun Dembele kerap diganggu dengan masalah kecergasan, Xavi memberikan gambaran jelas sewaktu sesi pengenalannya di Camp Nou semalam bahawa dia mahu Barca mengekalkan pemain berusia 24 tahun berkenaan.

"Dia boleh menjadi pemain terbaik dunia di posisinya," kata Xavi dalam sidang media.

"Dia mempunyai kemampuan yang luar biasa dan mentaliti untuk menang. Pembaharuan kontraknya merupakan satu keutamaan buat ketika ini.

"Kami perlu berkerjasama dengannya dan mengharapkan sesautu yang besar.
"Ia juga akan bergantung kepadanya, mentalitinya. Dia perlu berlatih dengan baik untuk mengelakkan kecederaan," katanya.



Xavi turut ditanya sama ada masalah kewangan Barca akan membataskannya untuk mengambil pemain baru atau tidak, dan dia berkata: "Kami akan melakukan penilaian dengan kelab dan kami akan menentukannya.

"Ia masih terlalu awal tetapi kami sedang berusaha untuk memperkuatkan pasukan ini.

"Akan sentiasa ada peluang, Bagi saya, amat jelas bahawa kami perlu memastikan semua pemain yang kami ada tahu apa yang mereka perlu lakukan dalam setiap waktu perlawanan," tambahnya.

Tugasan pertama Xavi sebagai pengendali Barcelona -- kelab di mana dia menghabiskan 17 musim selaku pemain -- adalah dengan menentang seteru setempat, Espanyol, pada 20 November ini.