Ketua jurulatih Barcelona, Xavi, mengakui rasa kasihnya buat Lionel Messi sewaktu perbincangan tentang membawa pulang pemain itu daripada Paris Saint-Germain (PSG).

Terdapat banyak spekulasi dan hipotesis mengenai Barca akan membawa pulang penyerang itu selepas musim keduanya di PSG tamat musim panas depan.

Xavi memilih untuk tidak bercakap tentang isu itu dalam sidang media menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Inter Milan di San Siro awal pagi esok tetapi tidak juga menafikannya.

"Tentang Leo, ayuh kita lihat tetapi ini bukan masanya untuk bercakap mengenai perkara itu.

"Anda tahu rasa kasih saya kepadanya. Dia seorang sahabat dan saya akan sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya.

"Barca adalah rumahnya tetapi kita tidak perlu membantunya untuk bercakap mengenai masa depannya.

"Biarkan dia tenang dan menikmati waktunya di Paris dan doakan yang terbaik buatnya," katanya.