Persatuan Tenis Wanita (WTA) menggantung semua kejohanannya di China berikutan kebimbangan mengenai keselamatan Peng Shuai selepas pemain itu mendedahkan mengenai serangan seksual yang dihadapinya -- dilakukan oleh seorang pegawai tertinggi negara itu.

Peng tidak pernah dilihat berada di halayak ramai sepanjang beberapa minggu ini selepas menuduh Zhang Gaoli -- bekas naib perdana menteri negara itu -- memaksanya melakukan hubungan seks sebanyak dua kali.

Dia melakukan tuduhan itu dalam satu kiriman di laman social Weibo pada bulan lalu, walaupun segala kirimannya dalam laman itu telah diturunkan dan keberadaannya sehingga kini masih menjadi tanda tanya.

Pertengahan bulan lalu, Pengerusi WTA, Steve Simon, menerima satu e-mel yang didakwa ditulis oleh Peng, yang mengakui tuduhan itu adalah palsu dan dia selamat dirumahnya, tetapi Simon berkata dia berasa bingung dan tidak percaya dengan kandungan mesej itu.

Simon menuntut siasatan penuh terhadap kejadian itu dan berkata e-mel yang diterimanya itu telah meningkatkan kebimbangannya terhadap keselamatan Peng dan mengancam untuk menggantung segala kejohanan WTA di China sehingga kes itu diselesaikan.

Dia kini mengesahkan bahawa hukuman penggantungan itu telahpun dijalankan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi.

"Pada 2 November 2021, Peng Shuai mengirimkan satu tuduhan serangan seksual terhadap seorang pegawai tertinggi kerajaan China, Persatuan Tenis Wanita beranggapan mesej daripada Peng Shuai itu perlu didengari dan diambil serius.

"Pemain WTA, termasuk semua wanita di seluruh dunia, layak menerima yang terbaik.

"Sejak daripada itu, Peng Shuai telah menunjukkan betapa pentingnya untuk anda bersuara, terutama ketika ia melibatkan serangan seksual, dan turut melibatkan orang yang berpengaruh.

"Seperti yang Peng katakan dalam kirimannya, 'walaupun ia seperti telur menghentak batu, atau seperti rama-rama menuju ke api, mengundang kehancuran diri, saya akan tetap mendedahkan kebenaran tentang anda'. Ia menunjukkan bahawa dia sedar bahaya yang akan menimpanya tetapi masih mahu mendedahkannya kepada umum. Saya amat kagum dengan kekuatan dan keberaniannya."

Kenyataan itu turut menjelaskan kekecewaan persatuan itu dengan cara negara China menguruskan masalah berkenaan dengan menambah: "Sebagai akibat, dengan sokongan penuh Ahli Lembaga Pengarah WTA, saya mengumumkan bahawa seluruh kejohanan WTA di China, termasuk Hong Kong, digantung serta-merta.

"Dari hati yang tulus, saya tidak dapat melihat bagaimana saya boleh meminta atlet untuk bertanding di sana pada ketika Peng Shuai tidak dibenarkan untuk berkomunikasi secara bebas dan dia kelihatan seolah-olah ditekan untuk menafikan tuduhannya berkenaan serangan sekskual itu."