Ralf Rangnick menuntut peningkatan Manchester United apabila mengakui Wolves memang berhak meraikan kemenangan dengan menyifatkan mereka sebagai pasukan terbaik yang pernah dihadapi anak buahnya sejak pelantikannya.

United dibayangi anak buah Bruno Lage itu dalam sebahagian besar perlawanan awal pagi tadi sebelum Joao Moutinho, 35, muncul sebagai pemain pelawat tertua yang menjaringkan gol kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, sekali gus menghadiahkan Ralf Rangnick kekalahan pertamanya.

Wolves -- yang gagal memenangi sebarang pertembungan dengan United sejak Februari 1980 -- menamatkan kemarau 10 perlawanan tanpa kemenangan di gelanggang keramat itu, secara tidak langsung melonjakkan mereka ke tempat ketujuh dengan hanya tiga mata di belakang The Red Devils.

Tuan rumah kebuntuan gol dalam empat perlawanan di tempat sendiri musim ini berbanding tiga kali pada musim lalu, lantas Rangnick kecewa dengan kualiti barisannya sambil memuji pasukan kendalian Lage.





Dia memberitahu Sky Sports: "Kami tidak beraksi bagus, baik secara individu mahupun kolektif. Dalam separuh masa pertama, kami menghadapi masalah besar untuk mengekang mereka daripada mengancam pintu gol kami.

"Kami dibolosi padahal kami mempunyai cukup pemain di dalam kotak penalti. Hantaran silang itu sempat dipatahkan oleh (Phil) Jones tetapi kami melepaskan gol yang terlalu banyak musim ini.

"Moutinho boleh merembat tanpa masalah, tiada tekanan. Kami sangat kecewa dengan keputusan ini termasuk sebahagian daripada prestasi kami.

"Kami memutuskan untuk menukar formasi dan kami mempunyai lebih banyak kawalan -- pihak lawan tidak mempunyai banyak peluang, tetapi kami terlepas kesempatan terhidang jadi kami perlu mengakui bahawa mereka lebih berhak untuk menang. Wolves adalah pasukan terbaik yang pernah kami hadapi. Hari ini kami berdepan lebih banyak masalah berbanding perlawanan lain."