Wira Aston Villa, Kortney Hause, menjelaskan tidak terlalu sukar untuk mengekang Manchester United dalam kemenangan 1-0 di Old Trafford, malam tadi.

Pemain tengah itu menyempurnakan tandukan daripada sepakan sudut pada minit ke-88 untuk memberikan pasukan kendalian Dean Smith tersebut kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang pertama ke atas United sejak Disember 2009.

Hause hampir dikecewakan apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada The Red Devils pada masa kecederaan berikutan bola terkena tangannya, tetapi Bruno Fernandes berdepan kegagalan kedua dalam 23 tugasan itu di United apabila tendangannya melewati palang gol di Stretford End.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu tewas 0-1 kepada West Ham dalam Piala Liga Inggeris (EFL), Khamis lalu, perlawanan yang menyaksikan mereka melepaskan 27 percubaan tetapi gagal masih buntu.







Ini kisah yang serupa ketika bertembung Villa apabila hanya empat daripada 28 percubaan tepat ke sasaran -- peluang tertinggi yang dicipta dalam liga tanpa menjaringkan sebarang gol sejak seri dengan Burnley pada Oktober 2016.

Begitupun, Hause tidak berasakan barisan benteng Villa kucar-kacir hanya kerana debaran saat-saat akhir itu.

"Kami memiliki peluang yang lebih baik," katanya kepada BBC Sport.

"Kami tidak begitu diuji sebagai sebuah pasukan, tetapi kami berjaya merangkul tiga mata dan itu yang penting. Kami gembira.

"Ketika memberikan mereka sepakan penalti, saya sangat kecewa dan marah dengan diri sendiri. Sebaik sepakan Bruno melepasi palang, saya berasa lega. Saya rasa ia satu keadilan kerana saya tidak fikir ia adalah satu penalti yang wajar diberikan.

"Peraturan adalah peraturan. Apa yang dapat saya lakukan sebagai pemain adalah terus beraksi dengan baik dan apa sahaja keputusan yang diberikan oleh pengadil dan video bantuan pengadil (VAR), kami harus teruskan perjuangan."