Setiausaha Agung, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, mengakui badan induk Asia itu turut terkejut dengan peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kami berasakan baginda masih mempunyai masa untuk melakukan perubahan dalam FAM mengikut tempoh yang baginda dipilih.

"Semua orang kenal baginda dan baginda sudah lama dalam bola sepak," katanya.

Mengenai cadangan Tunku Ismail yang mencalonkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, sebagai presiden dalam kongres tahun depan, Windsor berasakan beliau mampu melaksanakan tugas dengan baik jika mendapat kepercayaan ahli gabungan FAM.

Pandangan Windsor berlandaskan pengalaman luas Hamidin dalam pentadbiran bola sepak tempatan.

Windsor turut menjelaskan setiausaha agung boleh menjadi presiden sesebuah persatuan bola sepak kebangsaan.

"Dicalonkan presiden FAM untuk penggal yang baru bukanlah sesuatu mustahil. Ia tidak salah, sesiapa pun boleh memegang jawatan jika statut membenarkannya," katanya lagi.