Kaki kiri yang melecet teruk dalam kemenangan separuh akhirnya ke atas Sam Querrey menjadi punca Marin Cilic mengalah mudah dalam linangan air mata kepada Roger Federer dalam final perseorangan lelaki Wimbledon, semalam.

Pemain Croatia itu yang dikenali dengan servis kencangnya, jelas bermain di bawah tahap sebenar sambil Federer mengesahkan kejuaraan kelapannya di SW19 dengan kemenangan 6-3, 6-1, 6-4 dalam masa 1 jam 41 minit.

Masalah Cilic bermula awal dalam set kedua apabila dia berlinangan air mata ketika rehat pertukaran set tapi apa puncanya masih tidak jelas ketika itu.

Cilic terpaksa mengambil waktu rehat untuk rawatan terhadap kaki kirinya yang melecet teruk dan walaupun dapat meneruskan permainan, keupayaannya untuk menundukkan Federer di Gelanggang Tengah bukan lagi satu kemungkinan.

Pemain berusia 28 tahun itu menganggap kesengsaraannya itu sebagai sesuatu yang malang sambil mendedahkan dia terpaksa melawan kesakitan daripada kakinya yang melecet itu selama 30 jam menjelang final.

“Ia melecet teruk. Saya sudah pun merasakannya ketika separuh akhir dengan Querrey,” katanya.

“Saya mahu berterima kasih kepada ahli fisio di sini. Mereka membantu sepanjang 30 jam terdahulu. Mereka melakukan apa yang mereka terdaya tapi saya masih tetap menanggung kesakitan.

“Setiap kali saya perlu bertindak balas degan cepat, perubahan segera pergerakan, saya tidak mampu melakukannya.

"Jelas sekali ia amat sukar daripada segi emosi kerana saya tahu banyak yang telah saya lalui sepanjang beberapa bulan persiapan saya.

“Bagi saya, adalah sukar untuk fokus terhadap perlawanan, tambahan minda saya sentiasa terganggu oleh kesakitan yang dialami.

“Juga sukar untuk saya fokus kepada taktik, salah satu perkara yang perlu saya lakukan.

“Saya gagal melakukan servis dengan baik kerana itu. Malah, saya tidak dapat mempersiapkan diri dengan betul untuk memukul bola. Ia sangat, sangat sukar untuk ditangani.”

Di sebalik semua keadaan itu, Cilic bertegas ia tidak harus mengurangi pencapaian sensasi Federer – pemain berusia 35 tahun itu meraih kejuaraan grand slam ke-19 dan mencatat rekod lapan kejuaraan Wimbledon.

“Saya tidak sempat mengucapkan tahniah kepada Roger di atas gelanggang.

“Saya tidak mahu memperkecilkan kemenangannya. Dia benar-benar berhak ke atasnya.

“Saya fikir keupayaan dan keinginan besarnya untuk terus meningkat adalah antara yang terbaik dalam permainan ini.

"Sekalipun pada usianya kini, dia masih terus meningkat, masih mencabar dirinya sendiri untuk menjadi bertambah baik.

“Segala pujian kepadanya dan pasukannya kerana masih menemui cara untuk meningkatkan permainannya ke satu tahap lagi.

“Roger benar-benar seorang ‘gentleman’ dan pastinya salah seorang duta terbesar tenis.”