Juara bertahan, Roger Federer, merekodkan kemenangan ke-175 di gelanggang rumput ke atas Jan-Lennard Struff dalam pusingan ketiga Kejohanan Wimbledon.

Pemenang grand slam 20 kali itu mengatasi rekod Jimmy Connors ketika menyingkirkan wakil Jerman itu 6-3, 7-5, 6-2 dalam perlawanannya yang ke-200 dalam kejohanan gelanggang rumput.

Dia akan berdepan Adrian Mannarino dalam pusingan 16 untuk meniti laluan menjulang gelaran Wimbledon yang kesembilan dan gelaran yang ke-99 dalam kariernya.

Sementara itu, Serena Williams turut mengatasi pusingan ketiga dengan menewaskan Kristina Mladenovic 7-5, 7-6 (7-2) manakala Venus Williams menyertai Caroline Wozniacki dan Garbine Muruguza tersingkir apabila tewas 6-2, 6-7 (5-7), 8-6 kepada Kiki Bertens.