Pemain baru Paris Saint-Germain (PSG), Georginio Wijnaldum, berkata dia amat gembira sekiranya Paul Pogba dapat beraksi di sampingnya di ibu negara Perancis itu.

PSG sedang hangat dikaitkan untuk mendapatkan pemain tengah berusia 28 tahun berkenaan, yang kontraknya bersama Manchester United akan tamat pada 2022.

Wijnaldum, yang menyertai PSG daripada Liverpool bulan lalu, menyemarakkan spekulasi itu dengan melabel Pogba sebagai "pemain luar biasa".

"Saya amat gembira sekiranya Pogba menyertai kami," kata Wijnaldum kepada RMC Sport.

"Dia luar biasa. Saya pernah berlawan dengannya beberapa kali -- memang pemain yang hebat!

"Jika anda tanya mana-mana pemain pasukan lain sama ada mereka mahu Pogba menyertai mereka atau tidak, semua orang akan katakan mahu kerana dia seorang pemain luar biasa yang penuh dengan kualiti.

"Dia mempunyai segala-galanya, salah seorang pemain tengah terbaik di dunia," katanya.