Georginio Wijnaldum mengakui dirinya 'tidak gembira sepenuhnya' dengan kurang minit permainan di Paris Saint-Germain namun berikrar bagi mendapatkan tempat dalam pasukan tersebut.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai gergasi Ligue 1 secara percuma Jun lalu selepas gagal mencapai persetujuan dengan Liverpool, di mana dia turun sebagai pemain utama sejak lima musim yang lalu.

Selepas turun lima kali dalam tujuh perlawanan PSG musim ini, Wijnaldum hanya sekali berada dalam kesebelasan utama menjelang lima perlawanan terakhir sebelum rehat aksi antarabangsa.

Dia telah memainkan peranan buat skuad gergasi Perancis itu namun pemain tengah itu tidak berpuas hati apabila dilihat sebagai pemain sokongan kepada Marco Verratti, Idrissa Gueye dan Ander Herrera.

"Saya tidak boleh mengatakan saya benar-benar gembira," katanya.

"Ia bukanlah situasi yang saya mahu. Saya telah banyak beraksi sebelum ini, sentiasa bersedia dan berada di tahap terbaik.

"Ini merupakan sesuatu yang berbeza untuk saya membiasakan diri. Saya memang mahukan sesuatu yang berbeza namun ini yang berlaku. Sangat sukar.

"Itulah bola sepak dan saya perlu belajar menerimanya. Saya akan terus bersaing, positif untuk mengubah situasi ini."