Pemain tengah Juventus, Weston McKennie, terlepas minggu pembukaan musim Serie A apabila menyertai Paul Pogba dalam senarai pemain tercedera.

Pemain antarabangsa Amerika Syarikat (AS) itu menikmati prospek untuk bekerjasama dengan muka baru, Pogba, sempena kempen baru tetapi ia mungkin tidak menjadi kenyataan untuk masa yang lama.

Pogba berdepan diketepikan selama beberapa bulan akibat kecederaan lutut dan Bianconneri masih belum memutuskan sama ada tonggak tengah itu perlu menjalani pembedahan.

Mereka berharap untuk mendapatkan khidmat McKennie ketika Pogba diketepikan tetapi seperti pemain Perancis itu, dia perlu kembali ke bilik rawatan selepas mengikuti jelajah pra-musim di AS yang menyebabkan bahu kirinya tercedera.




Juventus berkata dalam satu kenyataan: "Weston McKennie menjalani pemeriksaan radiologi di J Medical (pusat perubatan kelab) pagi ini, yang mendedahkan masalah di bahu kirinya. Dia akan memulakan pemulihan, perlu menjalani tugas yang berbeza selama tiga minggu."

McKennie tidak beraksi dalam perlawanan pemanas badan terakhir ketika tumbang 0-2 kepada Real Madrid di Rose Bowl, Pasadena, hujung minggu lalu.

Gergasi Turin itu akan memulakan kempen Serie A menentang Sassuolo, 15 Ogos depan, dengan perlawanan selanjutnya menentang Sampdoria, Roma dan Spezia menjelang hujung bulan ini.