West Ham menerima tamparan hebat apabila tersingkir dalam pusingan keempat Piala FA selepas tumbang 2-4 kepada AFC Wimbledon, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Wally Downes itu, yang menghuni dasar Liga Satu dan tercicir lapan mata daripada zon selamat, melakar kejutan terbesar di Kingsmeadow dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dengan menjadikan The Hammers sebagai mangsa.

Wimbledon berhak untuk berada di depan pada minit ke-34 menerusi penyudah tenang Kwesi Appiah dari jarak enam ela dan mereka memiliki kelebihan 2-0 sebelum separuh masa pertama berakhir hasil kecemerlangan Scott Wagstaff yang menolak masuk bola ke pintu gol yang sudah ternganga.

Manuel Pellegrini membuat tiga pertukaran ketika waktu rehat dengan Felipe Anderson antara yang diperkenalkan, namun Wagstaff menyempurnakan hantaran Appiah untuk menjadikan kedudukan 3-0, kurang seminit setelah permainan bersambung.

Rembatan Lucas Perez menggegar gawang pada minit ke-57 untuk West Ham merapatkan jurang selepas mula melancarkan serangan bertali-arus.

Usaha kebangkitan West Ham itu semakin terserlah selepas sepakan percuma Felipe Anderson melepasi penjaga gol, Aaron Ramsdale.

Bagaimanapun, hantaran menarik ke sayap kiri membolehkan Anthony Wordsworth membuat hantaran silang kepada Toby Sibbick untuk menokok gol keempat pada pada minit ke-88, seterusnya menghantar Wimbledon ke pusingan kelima.

Dalam perkembangan sama, Marko Arnautovic menghadirkan sedikit keceriaan di kem West Ham apabila mengumumkan bersetuju dengan tawaran baru, sekali gus menamatkan spekulasi dia akan ke China.