Timo Werner berterima kasih atas sokongan yang diterimanya selepas disuruh "keluar dari kelab ini" oleh seorang peminat dalam sesi latihan terbuka hari ini.

Pemain Chelsea menjalani latihan secara terbuka di Stamford Bridge, di mana penyokong yang hadir turut dapat menyaksikan kelibat Romelu Lukaku secara dekat selepas pemain itu sah kembali ke kelab itu minggu lalu.

Bagaimanapun, acara itu dibayangi dengan satu insiden dalam sesi soal jawab bersama peminat, di mana seorang daripada mereka menggesa Werner meninggalkan kelab itu.

Kritikan itu jelas didengari menerusi pembesar suara dan mencetus kemarahan penyokong lain di tempat duduk mereka.

Werner kemudian memberikan respons positifnya dalam media sosial dan meluahkan rasa berterimakasihnya buat kesemua yang menyokongnya.

"Terima kasih atas segala rasa kasih dan sokongan yang saya terima hari ini.

"Penyokong The Blues, saya benar-benar menghargainya," tulisnya dalam akaun Twitter peribadinya.