Arsene Wenger mengakui tidak tahu berapa lama dia akan kekal di Arsenal tetapi berazam untuk terus memberi tumpuan kepada tugas dan menyerahkan kepada orang lain untuk menilai kualiti kerjanya.

Arsenal menewaskan Lincoln City 5-0 di Stadium Emirates, awal pagi tadi, untuk mara ke separuh akhir Piala FA tetapi keputusan itu tidak mungkin meringankan penelitian terhadap Wenger, yang tamat kontrak pada akhir musim ini.

Ia berikutan kekalahan agregat 10-2 Arsenal kepada Bayern Munich yang mengaibkan dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, dengan beberapa penyokong berarak dengan sepanduk yang tertulis 'Wexit' sebelum sepak mula menentang Lincoln.

Sekiranya pasukan gagal melayakkan diri ke pertandingan Liga Juara-Juara musim depan dengan menamatkan saingan Liga Perdana di luar kelompok empat teratas, ia akan memberi isyarat bahawa berakhirnya ikatan lama di antara Gunners dan Wenger, setelah mengambil alih kelab itu pada 1996.

Bercakap kepada BT Sport selepas kemenangan di Stadium Emirates, jurulatih kelahiran Perancis itu berusaha untuk mengalihkan perhatian terhadap situasinya itu.

"Saya rasa saya telah tunjukkan dalam hidup saya bahawa saya cuba berkhidmat untuk kelab ini dengan komitmen yang lengkap dan saya akan cuba berbuat demikian sepanjang masa saya di sini," katanya.

"Berapa lama, saya tidak tahu. Saya telah menunjukkan kesetiaan yang tinggi dan pilihan saya sentiasa (kekal) di sini, tetapi saya sudah mengulanginya banyak kali."

Ditekan sama ada komitmen itu bergantung kepada faktor seperti sikap penyokong dan ahli lembaga, dia berkata: "Ia tidak bersyarat, ia bergantung kepada bagaimana saya rasa mengenai situasi itu.

"Saya memberi tumpuan kepada tugas saya. Saya selalu buat macam itu. Saya membiarkan orang lain menilai persembahan saya.

"Saya tidak terlalu bimbang tentang semua yang lain. Saya hanya memberi tumpuan untuk cuba memenangi perlawanan seterusnya dan memastikan pasukan ini melaksanakannya."