MIDDLESBROUGH 1 ARSENAL 2

Arsene Wenger mengakui Arsenal kelihatan tidak begitu berkeyakinan dalam kemenangan tipis 2-1 ke atas Middlesbrough dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Jaringan Alexis Sanchez dan Mesut Ozil sudah cukup untuk memberikan Gunners tiga mata di Stadium Riverside meskipun Alvaro Negredo berjaya menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat.

Kemenangan itu menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam EPL buat Arsenal dan membawa mereka kembali mendekatkan diri dengan kelompok empat pasukan teratas dengan tujuh mata, satu perlawanan kurang daripada pasukan di tangga keempat, Manchester City.

Walaupun pengurus berbangsa Perancis itu menerima hakikat aksi anak buahnya itu jauh daripada sempurna, namun Wenger teruja dengan tahap komitmen pemainnya setelah melihat mereka tersungkur 3-0 di Crystal Palace, minggu lalu.

"Saya berasakan kami telah memberi tumpuan dan komited. Anda boleh melihat kami tidak bermain dengan penuh keyakinan, tetapi secara keseluruhan kami benar-benar mahu untuk menang," kata pengurus Arsenal itu kepada Sky Sports.

"Pada separuh masa kedua, kami terlepas gerakan penyudah tatkala kami mungkin boleh menambah satu atau dua lagi gol dan mereka mencipta peluang dengan hantaran lintang serta situasi bola mati.

"Middlesbrough memberikan segala-galanya. Ia adalah salah satu peluang terakhir untuk mereka kekal dalam liga.

"Masih terdapat beberapa peluang di mana mungkin kami boleh bermain lebih baik menerusi hantaran jauh tetapi fokus dan komitmen tetap ada.

"Ia adalah satu titik ujian buat kami. Mentaliti ketika kedudukan 1-1, buat seketika saya berfikir 'sekarang kami akan melihat di mana kami akan pergi'. Anda boleh melihat pemain-pemain mempunyai mentaliti yang baik, mereka mahu memenangi permainan dan mereka bertindak balas."

Wenger bereksperimen dengan menerapkan tiga pemain pertahanan menerusi gandingan Gabriel, Laurent Koscielny serta Rob Holding, dan pengurus berusia 67 tahun itu menjelaskan bahawa beliau mengambil berat kecenderungan Gunners dalam melepaskan gol menerusi pendekatan terus.

"Saya berasakan ia lebih stabil dengan hantaran jauh. Baru-baru ini, kami telah dihukum dengan pendekatan itu," katanya. "Kami membiarkan mereka menguasai bola lebih sedikit berbanding kebiasaannya. Ketika menentang Palace dan West Brom, kami menguasai 70 peratus permainan dan kami tewas.

"Kami mahu menguasai bola tetapi kadang-kadang, apabila pasukan tidak mempunyai keyakinan, perubahan dalam sistem boleh membantu keyakinan kepada suatu tahap berbeza."