Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, memuji persembahan Alexandre Lacazette yang dilihat mampu memberikan lebih daripada sekadar menjaringkan gol.

Lacazette meledak dua gol ketika membantu Arsenal meraih kemenangan 2-0 ke atas West Brom dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah menjaringkan empat gol sejak berhijrah dari Lyon dan Wenger memuji persembahan pemain berusia 26 tahun itu.

"Dia bukan saja menjaringkan gol, Lacazette mampu melakukan gerakan-gerakan yang berbahaya sebagai satu pasukan," katanya.

"Dia bermain dengan baik, tidak tergugat dengan cabaran fizikal yang ditampilkan oleh West Brom dan segera membiasakan diri," katanya lagi.

Kemenangan ini menyaksikan Arsenal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan sejak tewas 4-0 kepada Liverpool.

Wenger sangat berpuas hti dengan tindak balas yang dipamerkan oleh pasukannya dengan kemenangan ini meletakkan mereka di tangga ketujuh.

"Kemenangan ini akan dilihat sebagai pemangkin semangat Arsenal untuk terus mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan akan datang."