Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, masih menaruh minat dalam bidang pengurusan dan tidak menolak untuk menyahut cabaran mengendalikan pasukan.

Wenger tidak memegang peranan melatih mana-mana pasukan selepas mengakhiri tempoh 22 tahun mengemudi The Gunners pada 2018.

Bekas pengurus berusia 72 tahun itu kini berkhidmat sebagai ketua pembangunan bola sepak global Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan peranan berkenaan kekal menjadi keutamaannya buat masa ini.

Tetapi dalam tayangan perdana filem 'Arsene Wenger: Invincible', pengurus berbangsa Perancis itu mengakui tidak menolak kemungkinan untuk kembali menggalas jawatan bagi mengendalikan pasukan.

"Saya gila, saya cukup gila untuk menjadi gila dan membuat keputusan gila," kata Wenger.

“Tetapi secara keseluruhan saya akan katakan tidak, pada masa ini saya berazam untuk tidak melakukannya.

“Mungkin melatih pasukan kebangsaan untuk sepenggal tetapi ketika ini, saya terlibat dalam projek dengan FIFA dan mahu menyelesaikannya.

"Kami baru sahaja melancarkan akademi dalam talian untuk memberi peluang kepada semua orang di dunia berkembang sebagai pemain dan bagi saya, ia lebih berharga."




Wenger juga seandainya selesa prospek kembali ke bidang pengurusan tidak menjadi kenyataan.

Tambahnya: "Saya terbabit dalam 1,235 perlawanan buat Arsenal dan secara keseluruhan dalam karier ini, 2,000 perlawanan -- jika saya menguruskan 10 perlawanan lagi, ia tetap tidak akan mengubah hidup saya."

Wenger memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara Piala FA tujuh kali sejak berkelana ke England selepas melatih Nancy, Monaco dan Nagoya Grampus Eight.

September lalu, dia mempertahankan keputusan yang dibuat pada tahun-tahun terakhirnya di Arsenal sambil menempelak cadangan yang mengatakan dia sudah terlalu tua untuk menggalas jawatan itu lagi dengan menegaskan dirinya masih dalam keadaan baik.