Arsene Wenger berhasrat untuk "bermain di Eropah lagi", sekali gus meningkatkan kemungkinan pengurus Arsenal itu sedia mengemudi kelab lain pada musim depan.

Minggu lalu, The Gunners mengumumkan pengurus Perancis berkenaan akan meninggalkan Emirates pada akhir kempen ini untuk menamatkan tempohnya selama 22 tahun yang menyaksikannya memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan tujuh Piala FA.

Meskipun mengelak untuk membincangkan perancangan masa depannya, Wenger meningkatkan prospek bahawa dia sedia memikul tugasan lain bagi melepaskan kerinduannya untuk bertugas sejurus meninggalkan London utara.

Bercakap menjelang pertemuan pertama separuh akhir Liga Europa dengan Atletico Madrid awal pagi esok, dia memberitahu pemberita: "Saya harap ini bukan perlawanan terakhir Piala Eropah saya -- sasaran saya adalah untuk bermain di Eropah lagi.

"Saya tidak mempunyai rehat (daripada pengurusan bola sepak) selama 35 tahun. Anda boleh melihat sekeliling dan itu tidak wujud.

"Saya tidak tahu sejauh mana ketaksuban saya. Saya seperti seorang lelaki yang gemar berjudi pada setiap minggu dan tiba-tiba tiada lagi pistol, saya akan merinduinya.

"Apabila saya menginjak tempoh 33 tahun, saya fikir saya tidak akan dapat bertahan dalam tugasan ini tetapi anda belajar untuk menguasai emosi anda, anda tidak pernah pasti apakah anda melakukan perkara dengan betul. Buat masa ini, saya berusaha ke arahnya.

"Saya belum bersedia untuk melaksanakan apa-apa selain Arsenal," ujarnya.

Ditanya apakah beliau akan mempertimbangkan untuk berehat seketika dan mengikuti jejak Pep Guardiola, yang berehat setahun selepas meninggalkan Barcelona sebelum memberi komitmen kepada Bayern Munich, Wenger menjawab: "Ia tempoh yang panjang -- 365 hari."

Wenger, yang terpaksa menjelaskan tanggapan beliau seolah-olah tidak gembira dengan masa pengumumannya meninggalkan Arsenal, percaya bahawa majoriti peminat Arsenal gembira sepanjang kendaliannya biarpun ada suara minoriti yang berkempen menuntutnya angkat kaki.

"Apabila sesetengah orang tidak berpuas hati, ia bukannya selalunya daripada majoriti tetapi mereka mendapat perhatian dan mereka kelihatan seperti majoriti," katanya.

"Orang cerdik boleh membuat perbezaan di antara detik-detik ketidakpuasan dan kepuasan global atas apa yang saya bawa kepada kelab. Orang akan menyedari bahawa untuk layak ke Liga Juara-Juara selama 20 tahun berturut-turut bukanlah semudah itu."