Arsene Wenger menegaskan Arsenal belum mengalami "bencana" di gelanggang sendiri tetapi mengakui mereka tidak cukup baik dalam perlawanan di tempat lawan.

Arsenal jatuh ke kedudukan ketujuh dalam Liga Perdana Inggeris berikutan beberapa keputusan mengecewakan dan menghadapi satu lagi tugas sukar untuk meraih kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah -- ketinggalan sembilan mata di belakang skuad tempat keempat, Liverpool.

Mereka akan berkunjung ke Middlesbrough awal pagi Selasa, dan Wenger menggesa pemainnya agar meningkatkan permainan dan menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan seperti di laman sendiri.

"Kami perlu memastikan kami beraksi baik dalam perlawanan akan datang dan memberikan segala-galanya," kata Wenger dalam sidang media.

"Apabila saya bercakap tentang ujian mental, ia adalah untuk beraksi baik, tidak kira apa keadaan di sekeliling anda.

"Tetapi apa yang pasti adalah bahawa dalam tempoh tiga bulan lalu, tiada aksi konsisten, terutama perlawanan di luar.

"Di gelanggang sendiri, kualiti persembahan kami tidak buruk. Setelah bermain di luar kami tidak melakukannya, dan ia adalah sukar untuk menganalisis mengapa, kerana sebelum ini kami sangat kuat."

Banyak yang diperkatakan dan ditulis mengenai masa depan Wenger di kelab itu serta situasi kontrak Mesut Ozil dan Alexis Sanchez dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi jurulatih berbangsa Perancis itu berharap pemainnya terus memberi tumpuan kepada tugas mereka di atas padang.

"Ia tidak begitu menyeronokkan. Ia adalah satu cabaran besar. Saya tidak tahu jika ketidaktentuan di luar padang menjejaskan pasukan dan prestasi," katanya.

"Sudah tentu pemain bertanya kepada saya tentang masa depan saya. Sudah tentu mereka berkomunikasi tetapi saya rasa perkara yang paling penting kami bercakap ialah tentang permainan seterusnya.

"Kontrak Mesut Ozil mungkin sampai ke penghujung tetapi anda perlu bertugas sehingga hari terakhir kontrak itu.

"Itulah yang saya nampak. Kami perlu memberi tumpuan kepada apa yang penting, dan itu adalah apa yang berlaku di atas padang. Ahli sukan tahap tinggi perlu menjadi seperti itu.

"Itu adalah apa yang pasti walaupun keputusan tidak seperti apa yang kita harapkan."