Menjelang separuh akhir pertama Piala Malaysia, Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak, mengakui impak positif jentera serangan Melaka United kendalian Zainal Abidin Hassan jadi kerisauan.

Dalam perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, Hodak juga berharap skuadnya peka terhadap kredibiliti Khairul Fahmi Che Mat selaku benteng terakhir skuad Kancil.

"Saya berasakan jentera serangan dimiliki Melaka amat berkualiti dan jika kami gagal memberikan persembahan terbaik mungkin akan dihukum lawan," kata Hodak.

"Khairul Fahmi pula berada di usia terbaik sebagai penjaga gol, berpengalaman dan mampu menampilkan aksi cemerlang."

Hodak juga enggan terlalu fokus terhadap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk melarang penonton ke aksi separuh akhir pertama, sebagai hukuman selepas insiden penyokong menceroboh masuk padang susulan kejayaan mereka mengatasi Selangor di pusingan suku akhir.