Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menyasarkan tiga mata berdepan Kelantan dalam saingan Liga Super malam esok meskipun waspada dengan ancaman lawan yang membariskan skuad muda.

Bagi aksi pusingan kelapan liga, PKNP akan menerima kunjungan Kelantan di Stadium Batu Kawan dan kemenangan menjadi sasaran utama buat Abu Bakar.

Menyedari kualiti barisan muda yang ditampilkan oleh Kelantan, jurulatih itu menasihatkan pemain-pemain supaya tidak memandang rendah kebolehan lawan.

"Sebenarnya, ia bukan sekadar PKNP kerana kami juga sedar Kelantan turut mahu mencatat kemenangan. Kedua-dua pasukan akan bersaing untuk memperkukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

"Kami sedar kekuatan Kelantan dalam dua perlawanan terakhir. Barisan pemain muda yang diturunkan juga dilihat memberikan cabaran," katanya.

Skuad bimbingan Fajer Ibrahim itu mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa aksi terdahulu.

Biarpun mengalami kekalahan 1-2 ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), kelibat pemain muda seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat menunjukkan masa depan bola sepak Malaysia di landasan tebaik.

"Sememangnya apa yang difikirkan oleh ketua jurulatih Kelantan itu pernah saya lalui ketika bersama Perak pada 2014. Ia menjadi tonik untuk mengumpulkan idea dan memberi peluang kepada pemain baru. Ia senario yang bagus untuk bola sepak tempatan," tambahnya.