James Ward-Prowse menamatkan spekulasi mengenai masa depannya sebaik menandatangani kontrak baru selama lima tahun dengan Southampton.

Tottenham dan Aston Villa antara pasukan yang dikatakan berminat untuk mendapatkan kapten The Saints itu -- yang melakukan 323 penampilan bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sejak tiba daripada akademi mereka.

Pemain kebangsaan England itu kini sah tidak akan terlibat dengan sebarang perpindahan sebaik memeterai kesepakatan baru dengan skuad kendalian Ralph Hasenhuttl berkenaan.

Ward-Prowse berkata dalam laman web rasmi kelab itu: "Saya amat gembira. Saya fikir mungkin saya adalah manusia paling gembira di dunia ketika ini. Untuk menetapkan keputusan ini, saya fikir ia merupakan satu langkah besar untuk saya ke depan.

"Ia mungkin kali pertama saya dikaitkan dengan perpindahan dan spekulasi seperti itu dalam karier saya tetapi saya fikir saya amat berbesar hati untuk duduk berbincang dengan kelab ini dan ia berhasil buat kedua-dua pihak; mereka duduk dan memberitahu saya minat mereka terhadap saya dan mahukan saya mengetuai pasukan ini -- dan kelab ini juga telah melakukan banyak perkara buat saya, saya tidak dapat mengungkapkannya dengan kata-kata mengenai peluang yang mereka berikan kepada saya dan saya benar-benar berterima kasih kepada kelab ini.

"Saya masih belum selesai, masih banyak untuk saya berikan kepada kelab ini dan saya mahu berada di sana untuk mengetuai pasukan ini dan memastikan saya dapat membalas segala-galanya dan kepercayaan yang telah ditunjukkan kelab ini sejak saya berusia lapan tahun," katanya.

Ward-Prowse menjadi pemain ke-28 pernah beraksi dalam 300 perlawanan atau lebih buat Southampton dan telah menjaringkan 33 gol -- 14 daripadanya terhasil dalam dua musim lalu.

Keputusan pemain berusia 26 tahun itu untuk kekal bersama Southampton memberikan kelegaan buat Hasenhuttl selepas Danny Ings dan Jannik Vestergaard, masing-masing memilih untuk menyertai Villa dan Leicester City.