Pemain tengah Pahang, Wan Zaharulnizam Zakaria, mengakui hampa gagal membantu pasukan meraih tiga mata penuh walaupun berjaya menyerlah menerusi satu gol menentang Selangor, semalam.

Wan Zaharulnizam yang mesra dipanggil Kecik dijadikan sebagai bidan terjun dalam pertemuan Liga Super menentang Selangor di Stadium Darul Makmur itu.

Anak jati Kelantan itu diletakkan sebagai perancang tengah skuad Tok Gajah susulan Nor Azam Azih tidak dapat diturunkan kerana digantung perlawanan.

Bagaimanapun, dia tampak berjaya menggalas tugasnya dengan baik selepas turut menghasilkan gol buat Tok Gajah dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1.

"Memang sebelum perlawanan, saya telah meletakkan sasaran untuk menjaringkan gol dan ia sangat memuaskan. Tetapi Pahang gagal meraih kemenangan," katanyal.

Prestasi bekas pemain Harimau Muda A itu juga tampak melayakkannya untuk membarisi kesebelasan utama Pahang yang menyaksikan persaingan sengit musim ini.

"Beraksi di bahagian tengah bukan posisi yang biasa buat saya tetapi saya akan tetap memberikan yang terbaik dalam setiap percaturan yang dilakukan oleh pengendali pasukan."