Jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, mahu perlawanan menentang Perlis untuk aksi pusingan kedua Piala FA ditentukan di atas padang selepas lawan dikhabarkan mahu menarik diri ekoran masalah kewangan.

Selepas meraih dua kemenangan dan dua seri, UiTM kini berada dalam situasi terbaik untuk memulakan saingan Piala FA berdepan Perlis yang kini beraksi dalam Liga FAM.

Bagaimanapun, aksi itu mungkin terpaksa dilupakan apabila wujud dakwaan di media sosial bahawa Perlis akan menarik diri akibat masalah kewangan, yang membuatkan Wan Mustaffa sedikit terkilan.

"Apa yang kita semua tahu, Piala FA adalah medan di mana pasukan bawahan kerap mengejutkan pasukan daripada Liga Super atau Liga Perdana, jadi saya memandang saingan berdepan Perlis bukan satu perkara yang boleh diambil ringan.

"Mereka adalah bekas juara Piala Malaysia dan Liga Malaysia," kata Wan Mustaffa.

"Saya berharap segala penentuan akan diadakan di atas padang tanpa mengganggu pemain dan untuk kebaikan bola sepak Malaysia walaupun turut bersedih apabila mendapat tahu tentang perkara itu."

UiTM pastinya berkobar-kobar untuk meneruskan rekod tanpa kalah musim ini sebelum menyambung aksi Liga Perdana menentang pendatang baru, Felcra FC, Jumaat depan.