Aksi hebat Kyle Walker bersama skuad Manchester City dan England musim ini membuat Pep Guardiola menyamakannya dengan legenda Jerman, Philipp Lahm.

Walker tiba di Etihad pada Julai tahun lalu dengan yuran perpindahan £50 juta (RM270 juta) untuk muncul sebagai pemain bola sepak termahal di England.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu menjadi pelaburan yang sangat berbaloi, menjadi tonggak utama buat City musim ini sehingga kini dipisahkan dua kemenangan untuk menjulang trofi liga selepas meraih kejuaraan Piala Liga, bulan lalu.

Dalam masa sama, pengurus England, Gareth Southgate, menyifatkan perkembangan Walker di bawah kendalian Guardiola telah membolehkannya meletakkan bekas produk belia Sheffield United itu di bahagian bek tengah kanan mengisi tiga pertahanan yang digunakan ketika berdepan Belanda dan Itali, minggu lalu.

“Saya rasa ia adalah keputusan bijak daripada Southgate. Walker boleh bermain di pelbagai posisi. Dia memiliki kepintaran, fizikal yang kuat, bagus dalam hantaran pendek dan jauh serta mampu menyerang dengan baik.

“Jadi, dia boleh bertindak selaku bek tengah dalam tiga pertahanan,” kata Guardiola.

“Apabila anda membeli seorang pemain, anda akan membayangkannya untuk melakukan sesuatu.

“Dalam karier saya sebagai pengurus, saya menemui Eric Abidal dan Lahm sebagai pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi dan menyesuaikan diri dengan cepat. Walker mempunyai persamaan dengan mereka,” tambahnya.