Penyerang Arsenal, Theo Walcott, berkata rakan sepasukannya 'terluka' apabila tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas dibelasah Bayern Munich.

Layangan kad merah terhadap Laurent Koscielny mengundang masalah buat Arsenal ketika tumpas 5-1 kepada pendahulu Bundesliga itu di Stadium Emirates dengan agregat 10-2.

Walcott membuka jaringan pada minit ke-20 tetapi gol daripada Robert Lewandowski, Arjen Robben, Douglas Costa dan diikuti dengan dua lagi daripada Arturo Vidal menyaksikan mereka tersingkir daripada UCL pada pusingan ketujuh buat kali ketujuh berturut-turut.

Pemain kebangsaan England itu berkata pasukannya terluka dengan kekalahan besar terbaru ini.

"Kami mahu menunjukkan semangat serta komitmen kami, ia merupakan sesuatu yang gagal kami pamerkan buat beberapa minggu ini," kata Walcott.

"Kami cuba memberikan yang terbaik, kehilangan seorang pemain dan ia telah mengubah corak permainan dalam perlawanan ini.

"Kami seharusnya mengambil langkah bijak dan mengelak daripada dimalukan.

"Orang mungkin akan berkata kami tidak kisah dengan perkara ini tetapi ia merupakan perkara sebaliknya. Hampir kesemua pemain meratapi kekalahan ini."

Arsenal berpeluang untuk kembali ke rentak kemenangan ketika menerima kunjungan Lincoln City dalam aksi suku akhir Piala FA pada Sabtu.

Walcott menyifatkan Arsenal sudah bersedia menghadapi perlawanan tersebut dan mahu terus bersaing bagi menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kami memiliki peluang di situ dan mahu memperbaiki kedudukan liga kami."