"Tiada kompromi, tiga mata adalah wajib" itu tegas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang turut menganjurkan majlis solat hajat untuk skuad negara sebelum berlepas ke Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Skuad negara bakal beraksi di Stadium Gelora Bung Karno berdepan musuh tradisi, Indonesia, dalam aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia, Khamis ini, dan kemenangan menjadi sasaran.

Tewas 1-0 kepada Jordan dalam aksi persahabatan, namun ia merupakan persembahan memberangsangkan buat anak buah Tan Cheng Hoe, sekali gus menjadi bekalan berdepan skuad Garuda di tempat lawan.

Bagi Hamidin, tiga mata menjadi keutamaan bagi memastikan permulaan terbaik dalam saingan Kumpulan G, yang menyaksikan Malaysia bakal turut bertemu Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Skuad ini telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi saingan ini. Ia merupakan sesuatu yang dinantikan dan keputusan yang positif harus ditampilkan. Persiapan secara fizikal telah dilakukan dan kami membuat majlis solat hajat ini bagi mempermudahkan setiap urusan skuad negara.

"Secara peribadi dan seluruh FAM mahukan Malaysia membawa pulang tiga mata berdepan Indonesia sebelum bertemu UAE. Bukan mudah untuk mendapatkan keputusan positif di Gelora Bung Karno tetapi untuk beraksi ke peringkat yang lebih tinggi, kemenangan amat diperlukan," kata Hamidin.