Moussa Wague menjadi penjaring gol termuda dari benua Afrika dalam sejarah Piala Dunia selepas meledak ketika Senegal seri 2-2 menentang Jepun dalam Kumpulan H di Ekaterinburg Arena, semalam.

Pertahanan kanan berusia 19 tahun dan 263 hari itu merembat ke bumbung jaring untuk membantu skuad bimbingan Aliou Cisse itu mendahului 2-1 pada minit ke-71.

Dia memadamkan rekod yang dilakukan oleh Draman Haminu yang menjaringkan gol pada usia 20 tahun dan 82 hari ketika Ghana menentang Amerika Syarikat pada 2006.

Bagaimanapun, Senegal gagal mempertahankan kelebihan mereka apabila Keisuke Honda menjaringkan gol penyamaan tujuh minit kemudian.

Honda menjaringkan gol dari jarak dekat selepas masuk dari bangku simpanan untuk membolehkan pasukannya mengumpul empat mata bagi menyamai Senegal dalam Kumpulan H.

Jaringan itu menjadikannya pemain Jepun pertama yang menyudahkan gol dalam tiga Piala Dunia berbeza dan penjaring terbanyak dari Asia dalam sejarah kejohanan dengan empat gol.