Pengarah Sukan Bayer Leverkusen, Rudi Voller, menjangkakan persembahan yang cemerlang daripada Javier Hernandez pada separuh kedua musim ini, malah menolak cadangan untuk menjual penyerang itu.

Selepas menyertai dari Manchester United pada Ogos 2015, Hernandez menikmati penampilan musim pertama yang terbaik dalam Bundesliga, meledak 26 gol dalam 43 perlawanan dan membantu Leverkusen menghuni tangga ketiga untuk layak beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL), musim ini.

Bagaimanapun, Hernandez gagal mengulangi persembahannya musim ini, dengan pemain kebangsaan Mexico itu hanya meledak tujuh kali dalam 23 perlawanan.

"Saya menjangkakan lebih lagi daripada Chicharito," ujar Voller kepada Bild.

"Dia menyedari dia perlu meningkatkan lagi persembahannya. Saya berpendapat dia adalah orang yang pertama tidak gembira dengan aksinya pada separuh pertama musim ini."

Voller turut menolak sebarang idea bahawa Leverkusen sudah bersedia melepaskan penyerang itu.

"Saya tidak dapat membayangkan Leverkusen tanpanya. Kami memerlukan Chicharito kembali menjaringkan gol."