Selepas 14 tahun bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan pelbagai jawatan, Datuk Ong Kim Swee, berkongsi mengapa dia melabel keputusannya untuk mengharungi cabaran baru bersama Sabah.

Sang Badak menerusi Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar, dalam satu kenyataan semalam mengumumkan pelantikan bekas pengendali yang membawa kejayaan pingat emas Sukan SEA 2011 itu dan akan memulakan tugasan bulan depan menerusi Piala Malaysia.

Bagaimanapun, hasrat itu sebenarnya sudah lama dipendam dan dia berterima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Md Amin, kerana memberi restu untuknya menggalas cabaran baru dalam Liga Super.

"Ini kali ketiga saya cuba meletak jawatan, dua usaha sebelum ini tidak menjadi pada saat-saat akhir," katanya.





Jurulatih berusia 51 tahun itu menyifatkannya sebagai langkah yang besar dan berat buat dirinya.

"Ini satu keputusan yang besar buat diri saya. Kalau berada di FAM, (kedudukan) saya boleh dikatakan selamat.

"Tiada tekanan untuk saya membawa kejuaraan mahupun program. Ketika memulakan karier ini, saya bersama dengan pasukan muda dan saya sentiasa membina pemain dan dalam masa sama membentuk pasukan.

"Saya tahu Sabah tidak berada dalam kedudukan yang baik. Tapi saya percaya dengan pengurusan yang menginginkan di mana Sabah berada.

"Saya sudah berbincang dengan mereka dan sudah tentu ini memberikan satu keyakinan."