Virgil van Dijk memeterai kontrak jangka panjang baru dengan Liverpool -- malam sebelum mereka menempuhi perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021-22.

Ketua pasukan Belanda itu, yang membuat kepulangannya daripada kecederaan lutut serius dalam pra-musim selepas terpinggir selama sembilan bulan, bersetuju menyatakan komitmennya kepada The Reds untuk tempoh yang lama.

Kontrak Van Dijk sebelum ini telah dilanjutkan hingga 2023 tetapi bekas pemain Southampton itu sekali lagi bersetuju untuk melanjutkan masa depannya di Merseyside untuk dua musim lagi.

Dia memberitahu Liverpoolfc.com: "Menakjubkan. Ia adalah sesuatu yang sangat membanggakan dan saya sangat bangga. Isteri dan anak-anak saya sangat bangga termasuk agensi saya.

"Semua pihak terus bekerja keras atas apa yang telah kami laksanakan selama ini dan saya sedia mengharungi cabaran bersama Liverpool pada masa depan. Saya sangat gembira dan bangga."




Bekas tonggak Celtic itu menjadi kunci kejayaan The Reds dengan membantu pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu menawan EPL, Liga Juara-Juara (UCL), Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.

Dia telah mewakili Liverpool sebanyak 130 kali dengan menjaringkan 13 gol untuk mengikuti jejak Trent Alexander-Arnold, Fabinho dan Alisson yang turut memperbaharui kontrak dalam beberapa minggu terakhir ini.

Van Dijk dan Joe Gomez ditimpa kecederaan lutut serius dan sentuhan mereka amat dirindui musim lalu yang menyaksikan mereka gagal mempertahankan mahkota liga selain mengesahkan tempat dalam UCL pada saat-saat akhir.

Mereka akan ke Norwich City untuk perlawanan pembukaan kempen liga musim 2021-22, tengah malam ini, sambil Klopp mencadangkan Van Dijk tidak perlu bergegas untuk kembali meskipun pertahanan itu berasa sudah bersedia selepas mengharungi kempen pra-musim yang baik.

"Saya berasa baik. Saya beraksi dalam perlawanan persahabatan, dapat meningkatkan kecergasan perlawanan dan mengulangi rutin berulang kali," katanya.

"Saya sudah bersedia untuk hujung minggu ini, tapi kami akan melihat apa yang diputuskan oleh pengurus. Ia akan menjadi suasana dan pemikiran yang sama sekali berbeza bagi saya secara peribadi. Ini adalah sesuatu yang kami perjuangkan, demi pungutan mata dan semoga kami dapat meraih keputusan positif."