Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior, yakin ketibaan Kylian Mbappe daripada Paris Saint-Germain (PSG) semakin dekat selain meluahkan hasratnya untuk bergandingan dengan Neymar.

Masa depan Mbappe hanya diperkatakan sejak dia menyatakan keinginannya untuk memainkan peranan besar di peringkat kelab apabila berminat dengan "projek baru" tetapi Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, mendakwa "200 peratus pasti" pemain berusia 20 tahun berkenaan akan kekal di Parc des Princes.

Vinicius, yang menyertai Madrid dengan tanda harga €45 juta (RM212.2j) daripada Flamengo pada Julai 2018, menyuarakan keinginannya untuk bergandingan dengan tonggak antarabangsa Perancis berkenaan mahupun Neymar -- atau dengan kedua-duanya sekali.

Vinicius memberitahu Telefoot: "Saya mahu bermain di samping Neymar dan juga Kylian Mbappe.

"Semua peminat Madrid mengimpikan kelibat mereka di sini dan menyedarinya kerana saya pun begitu.

"Semua peminat di dunia ini ingin melihat Mbappe menyertai pasukan kegemaran mereka. Kami tidak saling mengenali tetapi kami sempat berborak di Instagram. Kami bertukar-tukar mesej.

"Saya amat mengaguminya. Dia sudah memenangi beberapa gelaran sedangkan masih di peringkat awal kerjayanya. Jika dia datang ke sini, ia pasti akan menjadi sesuatu yang hebat."

Madrid mengharungi musim yang mengecewakan ekoran menamatkan liga di tempat ketiga dan gagal mempertahankan mahkota Liga Juara-Juara (UCL).

Perbelanjaan mengikat Eden Hazard, Eder Militao, Rodrygo Goes, Luka Jovic, Ferland Mendy dan Takefusa Kubo telah mencapai angka €308 juta (RM1.4b), namun Vinicius yakin Los Galacticos sedia untuk membuat satu lagi pelaburan besar.

"Semua orang inginkannya ke mari dan saya pasti Mbappe akan datang tidak lama lagi," kata pemain berusia 18 tahun itu lagi.

"Dengan kelibatnya, kami pasti akan memenangi banyak trofi."