Pasukan bergelut, Monaco, meningkatkan pilihan di bahagian serangan dengan menandatangani Carlos Vinicius daripada Napoli sehingga akhir musim ini.

Pemain berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak secara kekal bersama Napoli, Julai lalu, selepas menyerlah ketika mewakili kelab divisyen kedua Portugal, Real Queluz, sebelum dipinjamkan ke Rio Ave.

Dalam 14 perlawanan Liga Primeira Portugal itu, pemain tengah menyerang berkenaan berhasil mengumpul lapan gol.

Vinicius menyertai Monaco dalam tempoh pergolakan yang menyaksikan bekas pengurus, Leonardo Jardim, kembali dilantik berikutan pemecatan Thierry Henry.

Monaco bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran selepas hanya memenangi 15 mata daripada 22 perlawanan, untuk meletakkan mereka di tangga ke-19 Ligue 1.

Pemain kelahiran Brazil itu merupakan pemain keenam dalam jendela perpindahan bulan ini susulan ketibaan Cesc Fabregas, Fode Ballo-Toure, Naldo, Gelson Martins dan William Vainqueur.