Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, menyifatkan tindakan presiden persatuan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melantik jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada, selaku pengurus pasukan sebagai penambahbaikan untuk skuad negara.

Menurutnya, Tunku Ismail mahu seseorang yang sentiasa bersama skuad negara dan Vingada dilihat calon paling sesuai melaksanakan tugas itu.

Ketiadaan pengurus pasukan sebelum ini, Datuk Seri Subahan Kamal, bersama skuad negara di Hong Kong untuk aksi kelayakan Piala Asia 2019 menimbulkan persoalan.

"Ini kali pertama dalam skuad Malaysia, jurulatih juga merangkap pengurus. Tetapi mungkin ini bentuk pembaharuan yang dilakukan.

"Saya fikir, lebih penting kita sokong niat Tunku Ismail yang ingin melihat pasukan kita bertambah baik pada masa akan datang.

"Apa juga keputusan yang dilakukan bagi menjurus ke arah penambahbaikan pasukan. Saya secara peribadi menyokong dan saya fikir penyokong pasukan negara patut menyokong keputusan baginda ini," kata Yusoff.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini mengeluarkan kenyataan mengesahkan Vingada akan menggantikan Subahan selaku pengurus bermula dengan aksi menentang Hong Kong, malam ini.

Dalam pada itu, Yusoff menjelaskan tindakan Tunku Ismail menawarkan ganjaran RM30,000 kepada pemain jika berjaya menewaskan pasukan itu tidak harus disalahertikan.

Ia bertujuan memberi motivasi tambahan kepada pemain demi kebaikan skuad kebangsaan.

"Tujuan baginda adalah untuk menambah semangat pemain dan saya fikir sedikit sumbangan peribadi baginda ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyemarakkan semangat pemain bagi menunjukkan permainan lebih baik.

"Ia sebagai motivasi untuk pemain bermain bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan penting pada malam ini," tambahnya.