Ketua jurulatih negara, Nelo Vingada, berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berdarah Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, bagi membantu memperkemaskan skuad negara.

Perkhabaran baru membabitkan Wan Kuzain, yang sudah menerima kontrak penuh Liga Bola Sepak United (USL) bersama kelab Swope Park Rangers, menarik perhatian Vingada.

Pengendali itu berminat untuk mendapatkan khidmat Wan Kuzain bagi membantu skuad kebangsaan yang sedang melewati resolusi baru selain keutamaan Vingada yang mahukan pemain muda untuk memperkuatkan pasukan bimbingannya.

"Saya dan staf lain telah mengikuti perkembangan ini dan walaupun sukar, kami tidak menutup sebarang kemungkinan untuk pemain-pemain ini bermain untuk skuad negara.

"Sudah tentu Wan Kuzain adalah salah seorang daripada pemain tersebut dan kami sedang cuba untuk mendapatkan khidmatnya dalam skuad kebangsaan, mungkin dalam pasukan B-19 atau B-22 tahun Malaysia," ujarnya.


Profil Wan Kuzain Wan Kamal

Umur : 18 Tahun
Asal : Kuala Lumpur
Posisi : Pemain Tengah

Pasukan yang pernah disertai
• Swope Park Rangers (2017)
• Saint Louis FC (2016)
• Amerika Syarikat B-17 (2015)