Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada, tidak menolak kemungkinan menggunakan kombinasi pemain muda dan senior bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa serta perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, September depan.

Pengendali berusia 64 tahun itu dikritik hebat selepas menampilkan ramai pemain berusia ketika aksi menentang Lubnan pada 13 Jun lalu yang menyaksikan Malaysia tumpas 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Meskipun Vingada mahu membina semula pasukannya tanpa mengira umur pemain, usahanya itu tampak sukar kerana ramai pemain muda bakal sibuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

“Kemungkinan besar ada perubahan dalam senarai pemain disebabkan Sukan SEA dan dalam tempoh yang sama, kami dalam persediaan (menghadapi Kelayakan Piala Asia 2019) tetapi saya juga akan mengikuti perkembangan pemain-pemain skuad B-22 negara,” ujarnya.

Bagaimanapun, jurulatih dari Portugal itu enggan melatah dengan kekangan tersebut, sebaliknya mahu menggunakan kesempatan daripada Liga Malaysia (Liga M) yang kembali bersambung hari ini untuk mengenal pasti pemain-pemain baru.

“Saya bersama-sama panel kejurulatihan lain akan memantau pemain-pemain apabila Liga M bersambung.

“Apa yang penting adalah mengenal pasti pemain-pemain yang mampu memenuhi keperluan pasukan kami,” katanya lagi.