Pengendali Sang Badak, Steve Vilmiaire, tidak mampu lagi menyembunyikan kekecewaan beliau selepas pasukannya itu kecundang 3-1 di tangan MISC-MIFA di Stadium MBPJ, semalam.

"Kami seperti ketakutan, kami gagal beraksi dengan baik...tiada reaksi, tiada karektor dan itu adalah masalah sama sejak musim ini bermula.

"Ini semua soal pemikiran pemain itu sendiri, saya tidak nampak mereka mahu menang.

"Mereka (pemain) seperti sudah selesa, ini harus diperbetulkan dan mereka perlu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan serta memberi reaksi seperti seorang dewasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurulatih berusia 32 tahun itu berkata selepas kembali dari kedudukan zon penyingkiran, pemain-pemain perlu meningkatkan semangat melawan dalam aksi akan datang atau berdepan situasi yang lebih buruk.

"Walau dilatih (Jose) Mourinho atau (Pep) Guardolia, jika pemain tidak menunjukkan semangat yang tinggi, keputusan akan tetap sama pada akhirnya.

"Sekarang, kami akan berehat dan bersedia untuk aksi suku akhir Piala FA bertemu Negeri Sembilan.

"Kami akan cuba membangkitkan semangat pasukan dan saya harap pemain akan mula sedar...cukuplah mengadu, bercakap dan bertanya, tiba masa untuk kami lakukannya."