TOTTENHAM 1 ASTON VILLA 2

Masa depan Harry Kane menjadi topik yang meniti di bibir semua pihak berikutan kekalahan Tottenham kepada Aston Villa, namun Ryan Mason lebih peduli dengan keputusan itu yang meletakkan harapan Spurs untuk lolos ke Eropah semakin kabur.


Penyerang berbisa itu Kane dikaitkan dengan perpindahan dan mahu mencari angin baru dan kekalahan terbaru 1-2 di London, awal pagi tadi, menyebabkan mereka tergelincir ke tempat tujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baki satu perlawanan lagi.

10,000 peminat yang menyaksikan perlawanan itu pasti berharap Kane yang turut serta memberi penghormatan tradisi kepada penyokong dengan mengelilingi stadium sejurus wisel penamat ditiup bahawa ia bukanlah bayangan perpisahannya.

Bagaimanapun, pengurus sementara, Mason, berpendapat ini bukan masanya untuk mengulas tentang spekulasi yang mengaitkan dengan penggempur England itu.

"Saya tidak fikir sekarang adalah waktunya untuk menjawab soalan mengenai Harry Kane," katanya kepada BBC.

"Kami baru sahaja kalah dalam EPL. Saya akan bercakap mengenai perlawanan hari tetapi bukan mengenai individu."



Spurs terlebih di depan menerusi serangan menakjubkan Steven Bergwijn, namun Mason meratapi kesilapan dan pertahanan goyah kendur yang menyaksikan Sergio Reguilon tertampan bola ke gawang sendiri sementara Ollie Watkins menyudahkan satu peluang terhidang sebelum rehat.

"Kami memulakan permainan dengan baik, kami tidak bernasib baik ketika dibolosi gol pertama dan lawan juga tidak sepatutnya mendapat gol kedua," katanya.

"Saya tidak anggap ada banyak peluang menarik daripada pencabar, hanya saat-saat getir itu sahaja. Apabila anda melakukan kesalahan yang tidak diingini seperti yang kami lakukan, ia menawarkan lawan satu perasaan yang baik. Kami cuba memecahkannya tetapi tidak mengambil peluang dalam saat-saat penting itu.

"Kami perlu mengekalkan disiplin di atas padang. Kadang-kadang kami kehilangan rentaknya. Ini adalah tentang berusaha untuk tetap sabar dan tenang. Villa melakukan serangan balas dan ia sering menjadi ancaman. Ini adalah satu malam yang mengecewakan."

Spurs bakal mengakhiri kempen musim ini berdepan pemenang Piala FA, Leicester City, Ahad ini.