Pemain tengah Sepanyol, Jonathan Viera, menjelaskan pertahanan, Gerard Pique, memberikan komitmennya kepada Sepanyol dan ia tidak seharusnya diragui.

Pique telah dicemuh oleh penyokong ketika sesi latihan, dengan bintang Barcelona itu memberikan sokongan kepada referendum kemerdekaan Catalonia.

Viera, yang menyertai skuad semalam, memberi sokongan kepada Pique dan mengatakan bahawa pemain yang beraksi untuk Sepanyol sebanyak 91 kali itu harus dihormati.

"Setiapi orang memiliki pendapat berbeza dan bebas memberikan pandangan. Jika dia berfikir sedemikina, kita harus menghormatinya," kata Viera.

"Jika dia bersama kami, ia menunjukkan Pique memberikan komitmen penuh kepada skuad kebangsaan.

"Dia telah lama bersama pasukan ini dan menghasilkan kejayaan bersama pasukan," katanya.

Viera mungkin akan menerima kap pertamanya setelah dipilih untuk menyertai Sepanyol untuk beraksi dalam aksi kelayakan berdepan Albania dan Israel.

Pemain berusia 27 tahun itu teruja dengan peluang yang diberikan, sesuatu di luar jangkaannya.

"Sejujurnya, saya tidak menjangkakan dipilih menyertai La Roja. Saya sangat gembira berada bersama pasukan. Saya akan cuba memberikan yang terbaik."

Sepanyol semakin hampir untuk layak ke Piala Dunia 2018 apabila mendahului Kumpulan G dengan kelebihan tiga mata dengan berbaki dua perlawanan.