Ketua Eksekutif Inter Milan, Giuseppe Marotta, mengesahkan bahawa salah satu objektif kelab Serie A itu ialah mendapatkan pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal.

Vidal, 32, dikaitkan dengan perpindahan ke Inter selepas hanya meraih empat penampilan dalam kesebelasan utama saingan LaLiga musim ini walaupun masuk selaku pemain gantian sebanyak 11 kali.

Marotta berkata usaha mendapatkan khidmat pemain Chile itu -- yang pernah memenangi tiga kejuaraan Serie A sewaktu mewakili Juventus di bawah kendalian pengendali Inter ketika ini, Antonio Conte -- merupakan satu keutamaan.

"Vidal? Dia salah satu objektif Inter," katanya.

"Dalam bulan ini, perkara terpenting berakhir penghujung bulan nanti. Kami berusaha untuk meningkatkan kualiti pasukan.

"Anda perlu mencapai sasaran penting dan ia bermaksud meraih kualiti yang hebat."

Selepas mengharungi hampir separuh musim, Inter kini mengungguli carta Serie A tetapi berkongsi mata dengan Juventus.

Vidal merupakan salah seorang pemain yang dijangka menyertai Inter, yang turut dikaitkan dengan pemain Manchester United, Ashley Young, sambil berkemungkinan menjual Mattep Politano ke seteru utama, AC Milan.

"Ketika ini, terdapat banyak spekulasi," tambah Marotta.

"Tiada keperluan untuk memaklumkan nama kepada saya. Kami sedang beroperasi."

Inter bakal melayan kunjungan Atalanta dalam aksi Serie A malam esok.



Editor: Nafis Abdullah