Arturo Vidal menafikan dia terlibat dalam insiden membabitkan pihak polis di sebuah kasino yang terletak di Chile namun mengakui berada di tempat tersebut sebelum itu.

Pemain tengah Bayern Munich itu dilaporkan sedang berpesta bersama rakan dan ahli keluarga yang berlarutan sehingga lewat pagi.

Pada awalnya, Vidal menafikan dia berada di tempat kejadian dan mendakwa media hanya cuba untuk merosakkan imejnya.

Bagaimanapun, ketika bercakap dalam satu sidang media, dia mengakui sebaliknya namun menegaskan telah pun meninggalkan tempat itu sebelum diserbu polis.

"Banyak maklumat tidak benar telah disebarkan. Pertamanya, saya memang berada dis itu bersama rakan-rakan yang lain," katanya.

"Saya berada di situ untuk makan malam dan selepas seketika kami pulang ke rumah. Kemudian keesokan paginya saya mendapat tahu pihak polis telah menyerbu kasino tersebut.

"Saya tidak senang apabila media cuba mengaitkan insiden itu dengan saya. Saya seorang pemain profesional, saya sudah pun meninggalkan tempat itu sebelum ketibaan pihak polis.

"Saya hanya mahu memberikan fokus terhadap aksi berdepan Paraguay dan Bolivia.

"Sudah tentu jurulatih akan bertanyakan mengenai insiden ini tetapi dia tahu siapa saya. Dia yakin dengan saya jadi saya tidak ada sebarang masalah untuk menceritakan segala yang terjadi."

Dua tahun lalu, lesen Vidal telah ditarik balik susulan terlibat dalam kemalangan kereta di bawah pengaruh alkohol ketika mewakili Chile dalam Copa Amerika.