Vidal beri bayangan bersara

Penulis Jemputan
September 6, 2017 02:32 MYT
Pemain tengah Chile, Arturo Vidal, mendedahkan dia bersedia untuk mengumumkan persaraan selepas tamatnya pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia.
Sebelum ini, pemain Bayern Munich itu telah memberikan bayangan untuk bersara selepas tewas 0-3 di tangan Paraguay, minggu lalu.
Dia sudah melakukan 97 penampilan buat Chile dan pemain berusia 30 tahun itu sekali lagi berbicara mengenai persaraannya selepas tewas 0-1 di tangan Bolivia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 zon Amerika Selatan, awal pagi tadi.
“Maaf Chile atas dua kekalahan ini,” tulis Vidal menerusi laman sosial Instagram peribadinya.
“Kami akan terus berjuang! Dua perlawanan dan Piala Dunia adalah segalanya yang tinggal untuk saya, terima kasih atas sokongan selama ini.”
Chile, yang juga juara bertahan Copa America, terpaksa menerima kekalahan kedua berturut-turut ketika menentang Bolivia selepas Juan Carlos Arce menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-59.
#Chile #Kelayakan Piala Dunia 2018 #Arturo Vida #Copa America