Ketua jurulatih skuad Piala Presiden Kedah, Victor Andrag, tidak menyalahkan barisan pertahanannya, sebaliknya mahukan pemain muda Kedah belajar daripada kesilapan apabila terpaksa berkongsi mata dengan tuan rumah, Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Ingatan itu mudah difahami kerana Kedah sudah berada di ambang kemenangan apabila mendahului Kelantan seawal minit ke-13 melalui penyerang, Aminuddin Abu Bakar, sebelum kelekaan benteng pada masa kecederaan membolehkan kapten Kelantan, Nik Azli Nik Alias, menjaringkan gol penyamaan.

“Kami dihukum apabila barisan pertahanan gagal mengawal ketat penyerang Kelantan apabila lawan mendapat sepakan percuma pada minit akhir permainan. Sedikit kesilapan berlaku dan pemain hilang fokus biarpun kemenangan sudah di depan mata.

“Saya beritahu pemain jangan kecewa dan terus belajar daripada kesilapan. Dalam bola sepak, pemain perlu fokus sehingga wisel penamat ditiupkan.

"Apapun, tahniah kepada pemain. Satu mata dan beraksi di gelanggang lawan adalah cukup baik,” katanya.

Victor yang juga bekas pertahanan skuad negara, mengakui rezeki tidak berpihak kepada pemainnya untuk membawa balik tiga mata apabila pemain tengah, Mohd Aiman Afif Md Afizul, gagal melakukan sepakan tepat ke gawang tuan rumah apabila penjaga gol sudah tertewas.

“Inilah bola sepak. Selepas Kelantan mendapat gol penyamaan, kami hampir menjaringkan gol kedua melalui percubaan Mohd Aiman Afif. Malangnya tersasar dan kami harus berpuas hati dengan satu mata sahaja,” katanya.

Victor juga mahukan pemainnya terus memberikan aksi terbaik dalam perlawanan kelima Kumpulan A Piala Presiden menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) III di gelanggang lawan, Isnin ini.

“Kami akan buat sedikit post-mortem selepas ini untuk membaiki segala kesilapan yang ada sebelum bersedia sepenuhnya menentang JDT III,” katanya.

Untuk rekod, Kedah menduduki tangga kelima dalam Kumpulan A dengan memungut lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua keputusan seri.