Pendahulu Formula Satu (F1), Sebastian Vettel, menjangkakan persaingan sengit dalam Grand Prix Kanada selepas dia ditewaskan oleh Lewis Hamilton dalam perebutan petak pertama di Montreal, awal pagi tadi.

Pemandu Mercedes itu meraih petak pertama yang ke-65 dalam kerjaya dan menyamai rekod idolanya, Ayrton Senna.

Namun Vettel, yang memegang kelebihan 25 mata mengatasi Hamilton dalam kedudukan pemandu, yakin dia boleh bersaing dalam perlumbaan sebenar pada awal pagi nanti.

"Saya tidak begitu gembira dengan prestasi saya pada suku ketiga perlumbaan. Kami menghadapi persaingan sukar tetapi kami boleh menjadi lebih sengit," kata pemandu Ferrari itu.

"Kami boleh mendahuluinya tetapi Hamilton melakukan tugas dengan sangat baik. Saya hilang kawalan di Selekoh 2 dan dari situ saya tahu saya terpaksa mengejar.

"Kereta sangat baik dan saya gembira dalam (latihan) sesi pagi.

"Berada di barisan hadapan memberikan anda peluang untuk membuat permulaan yang baik. Saya yakin kami akan mempunyai satu perlumbaan yang sengit.

"Ini adalah litar yang bagus dan kami juga mempunyai prestasi yang baik di sini tahun lalu."

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen, layak sebagai pelumba keempat dan tidak berpuas hati dengan prestasinya.

"Terdapat banyak potensi di dalam kereta tetapi saya tidak memandu dengan baik dan tidak berjaya melakukan pusingan yang baik," kata Raikkonen.

"Pecutan terakhir saya sangat buruk, saya membuat kesilapan pada selekoh pertama dan kedua, dan saya membayar harga untuk itu. Esok (awal pagi nanti) ia perlu cerita berbeza."