Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti, mengakui pasukannya berada dalam keadaan tertekan untuk menjuarai saingan Piala Liga Perancis.

Skuad kendalian Unai Emery itu menyasarkan untuk memenangi kejuaraan 'treble' dalam empat musim dan serius mahu menundukkan Monaco dalam perlawanan akhir di Bordeaux, awal pagi esok.

Kemenangan dalam final itu menyaksikan PSG bakal meraih Piala Liga Perancis buat kali kelima berturut-turut untuk sekurang-kurangnya memadamkan kekecewaan gagal melepasi pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah selepas ditewaskan Real Madrid.

Verratti berasakan bahawa banyak andaian di media yang tidak benar dikeluarkan tetapi menerima hakikat bahawa PSG amat memerlukan kejuaraan.

“Terdapat banyak spekulasi, terutama di luar kelab. Setiap hari saya menyaksikan perkara yang tidak benar.

“Kami berada di bawah tekanan. Banyak kritikan apabila kami tidak berjaya memenangi semua kejuaraan. Mungkin ia disebabkan oleh prestasi kami tidak berada di tahap terbaik dalam dua tahun terakhir.

“Trofi terpenting akan tiba juga satu hari nanti,” kata Verratti.

“Sebaik sahaja musim bermula, kami mahu memenangi kesemuanya tetapi ia bukan mudah. Kejuaraan semestinya amat penting buat kami dan kelab, ia adalah sasaran utama kami.

“Aksi final ini juga bukan mudah kerana kami kekurangan waktu untuk berlatih bersama selepas aksi persahabatan antarabangsa.”