Bekas pemain tengah Manchester United dan Argentina, Juan Sebastian Veron, akan kembali daripada persaraan untuk beraksi bersama Estudiantes.

Pemain berusia 41 tahun itu bersara pada tahun 2014 selepas menempuh karier gemilang bersama United, Inter dan Lazio di samping membuat 73 penampilan bersama Argentina.

Kini memegang jawatan selaku pengerusi Estudiantes, Veron bakal kembali beraksi di atas padang.

"Dia memberitahu kami dia mahu beraksi. Bermula Januari ini, dia akan turun selaku pemain," jelas pemain tengah, Israel Damonte, kepada La Oral Deportiva.

"Dia akan beraksi untuk saingan liga dan Copa Libertadores pada tahun 2017."

Veron sebelum ini berjanji akan kembali beraksi dalam Copa Libertadores jika penyokong membeli 65 peratus daripada tempat duduk di stadium baharu kelab itu.