Gol babak akhir Riccaro Bocalon mengesahkan kemaraan Venezia ke Serie A selepas menewaskan Cittadella 2-1 secara agregat dalam perlawanan playoff Serie B awal pagi tadi.

Kali terakhir Venezia bersaing dalam Serie A adalah dalam musim 2001-02 tetapi selepas membawa kelebihan 1-0 daripada perlawanan pertama, impian mereka untuk kembali ke saingan divisyen utama itu terancam apabila Federico Proia membuka jaringan buat Cittadella pada minit ke-26 di Stadio Pierluigi Penzo.

Bahkan, peluang itu kelihatan semakin tipis apabila Cittadella terus memberikan asakan, di mana pasukan pelawat itu melakukan 16 percubaan, lima daripadanya -- termasuk jaringan -- merupakan percubaan tepat.

Bagaimanapun, pergelutan itu -- termasuk kad merah yang dilayangkan kepada Pasquale Mazzocchi dan pemain yang sudahpun digantikan, Mattia Aramu -- ditamatkan dengan gemilang oleh Venezia apabila Bocalon menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-93 bagi menamatkan penantian 19 tahun mereka untuk kembali ke Serie A.

Venezia, yang menamatkan Serie B di tempat kelima, akan mengekori jejak Empoli dan pasukan naib juara, Salernitana, ke liga divisyen utama itu bagi musim 2021-22.