Lucas Vazquez tiada sebab untuk mempertimbangkan hasrat meninggalkan Real Madrid kerana dia sedang menikmati tempoh cemerlangnya bersama gergasi LaLiga itu.

Pemain Sepanyol itu mendapat kepercayaan Zinedine Zidane dan baru-baru ini menjaringkan gol liga keempat musim ini ketika membelasah Girona 6-3, Ahad lalu.

Madrid menang tujuh perlawanan LaLiga ketika pemain sayap itu diletakkan lapan kali dalam kesebelasan utama sehingga menyaksikan Gareth Bale sekadar memanaskan bangku simpanan.

Dan sebagai anggota pasukan kebangsaan menjelang Piala Dunia Russia, Vazquez gembira dapat beraksi di kelab yang disertainya semula dari Espanyol, tiga tahun lalu.

"Saya fikir saya berada dalam tempoh paling manis dan keyakinan besar sejak kembali ke Madrid, saya memberikan sumbangan dan merakamkan keputusan yang baik," pemain berusia 26 tahun itu memberitahu Onda Cero.

"Impian saya adalah sentiasa bermain untuk Real Madrid. Apabila mereka menawarkan peluang untuk saya kembali, ia menyerupai ganjaran seumur hidup.

"Saya sangat gembira di Real Madrid. Pasukan ini yang membentuk saya sebagai pemain dan saya harap dapat bertahan di sini selama bertahun-tahun lagi."

Vazquez mengintai untuk tampil buat kali keempat bersama Sepanyol yang akan menguji Jerman dan Argentina pada Jumaat ini dan Selasa depan.